Temu Bual Bersama Penulis Novel Malaysia, Sara Aisha

Bahan bacaan seperti novel, dapat kita lihat semakin banyak dalam pasaran Malaysia. Menunjukkan sudah ramai penulis baru muncul. Penerbitan buku juga sudah mula mengorak langkah dengan lebih besar untuk mempromosikan keluaran mereka. Industri penulisan tanah air kini sudah mula menjadi sebuah industri yang agak merumitkan. Tentunya bagi seorang penulis novel, sama ada sudah lama bertapak atau baru mula menapak masuk. Bagi penulis Sara Aisha, beliau yang sudah menghasilkan beberapa buah novel di bawah terbitan Penerbitan Karyaseni mungkin merasai perkara yang sama. Nak kenal dengan penulis novel popular Malaysia yang karyanya sudah diadaptasi ke drama televisyen? Ikuti Segmen Soal dan Jawab kami bersama Sara Aisha. 

1.    Boleh Sara perkenalkan diri? 

Nama sebenar saya ialah Siti Sarah Aishah Binti Mohd Azkah. Saya menggunakan nama pena Sara Aisha, iaitu nama singkatan kepada nama sebenar saya. Berasal dari Kelantan, dan kini berumur tiga puluh tahun.

IMG_0172.JPG

2.         Selain bakat menulis, apa lagi talent yang Sara ada?

Hmm, itu soalan yang agak susah. Saya rasa menulis ialah satu-satunya talent yang saya ada. Itu memang minat saya dari kecil, walaupun saya sebenarnya ialah pelajar bidang sains.

3.         Bila Sara alami writer block, apa yang akan Sara lakukan ya?

Berhenti menulis buat sementara waktu. Ambil masa untuk kosongkan otak dan tenangkan diri. Bila mengalami writer’s block, saya tak boleh paksa diri untuk menulis. Kalau tak, lagi teruk jadinya. Jadi, saya akan berhenti dalam masa beberapa hari. Langsung tak sentuh manuskrip. Bila dah rasa elok sikit, barulah saya akan buka semula manuskrip dan baca balik dari awal. Biasanya dengan buat begitu, saya kembali boleh menulis.

4.         Siapa inspirasi Sara dalam menulis sesebuah cerita itu?

JK Rowling. Saya mendapat inspirasi daripada kisah beliau sebelum Harry Potter berjaya dinovelkan. Beliau hidup susah, ditolak oleh banyak syarikat penerbitan dan macam-macam lagi. Tetapi beliau tidak berputus asa, dan tetap yakin dengan hasil tulisan beliau. Hasilnya, Harry Potter menjadi kegilaan dunia.

IMG_0038.JPG

5.         Tiga perkataan yang describe tentang diri Sara?

Comel, sebab orang cakap begitu. Mungkin sebab saya memang bertubuh kecil dan gemar senyum/ketawa.

Positif. Saya seorang yang selalu tenang dalam apa jua keadaan, dan sangat susah untuk marah. Tetapi, itu juga satu benda bahaya sebenarnya. Sebab orang yang susah marah, sekali dia marah, dahsyat jadinya.

Tegas. Saya seorang yang bila sudah buat apa-apa keputusan, susah untuk berganjak daripada keputusan itu. My YES means YES. My NO means NO.

6.         Sneakers? Heel? Wedges?

Wedges. Untuk orang yang rendah macam saya, memang perlukan bantuan untuk jadi lebih tinggi. Heels cuma dipakai dalam sesetengah occasion sahaja, seperti waktu kerja di pejabat dahulu atau menghadiri mesyuarat.

7.         Mengarang sesebuah cerita sangat sukar, apa yang membangkitkan semangat Sara untuk terus menulis?v

Keinginan untuk menyampaikan apa yang ada dalam fikiran saya. Untuk orang yang mengikuti karya saya, mereka akan perasan bahawa hasil tulisan saya lain daripada orang lain. Biasanya isu yang diketengahkan ialah isu yang berat. Isu yang mungkin jarang diperkatakan, tetapi sebenarnya menarik. Jadi saya gunakan hasil tulisan saya sebagai medium untuk menyampaikan pendapat atau pandangan saya terhadap satu-satu isu.

8.         Selain genre cinta, Action dan Psiko, genre apa lagi yang Sara teringin nak tulis?

Time-travel, tetapi akan dimasukkan juga unsur-unsur aksi. Saya teringin untuk cabar diri sendiri dalam menggambarkan timeframe zaman dahulu, sama ada dalam zaman perang, atau zaman penjajahan.

9.         Sara peminat kucing?

Saya neutral dengan kucing. Tidak terlalu minat, tetapi tidak takut dengan kucing.

IMG_3119.JPG

10.       Perasaan Sara sewaktu pertama kali novel Sara diterbitkan?

Teruja. Saya tidak pernah menduga karya saya akan diterbitkan, sebenarnya. Saya cuma mencuba hantar karya ke laman web penulisan2u. Tidak disangka-sangka, kisah Jodoh itu Milik Kita dilamar oleh syarikat penerbitan.

11.       Perasaan Sara sewaktu melihat kisah ciptaan Sara tersiar di kaca TV?

Teruja bercampur gementar. Teruja sebab saya dapat melihat apa yang saya hasilkan dalam bentuk tulisan, jadi hidup dalam bentuk manusia yang punya kehidupan. Tetapi pada masa sama, saya gementar dan bimbang kalau-kalau adaptasi drama akan menghancurkan jalan cerita yang digambarkan dalam novel.

12.       Tiga perkara kecil yang boleh buat Sara gembira?

Buku. Kopi. Hujan.

13.       Antara kesemua novel Sara,  mana satu yang mengambil masa paling lama untuk disiapkan?

AKU LELAKIMU. Saya mengambil masa selama setahun setengah untuk siapkan Aku Lelakimu, di mana setahun digunakan untuk kajian.

IMG_0228.JPG

14.       Gaya pemakaian yang macam mana Sara suka?

Casual but proper. Kasual bagi saya bukanlah jeans dan t-shirt. Biasanya saya mengenakan blaus dan palazo, dipadankan dengan wedges atau sandal bertumit tinggi.

Apa-apa pun, yang penting, gaya pemakaian harus bersesuaian dengan occasion. Gaya pemakaian saya sewaktu keluar membeli-belah, menghadiri mesyuarat, melancong atau memanjat gunung, semuanya berbeza.

15.       Macam mana Sara dapat idea untuk menulis cerita yang gempak macam Salju Kyoto dan Aku lelakimu?

Kalau Salju Kyoto, melalui pengalaman saya melancong ke Jepun. Saya suka mengabadikan kenangan saya di luar negara dalam hasil tulisan saya, jadi saya akan memikirkan jalan cerita yang boleh mengetengahkan negara itu.

Untuk Aku Lelakimu pula, saya memang teringin untuk tulis kisah psiko. Jadi saya cuba membaca sebanyak mungkin tentang psikopat dan pembunuh bersiri. Semakin saya baca, semakin saya dapat fikirkan jalan cerita.

Pendek kata, idea itu bukan datang sendiri. Tetapi dengan cara mencari. Alhamdulillah, saya berjaya mencarinya.

16.       Tiga perkara yang Sara tak suka.

Rokok.

Lelaki yang fikir perempuan berada di bawah mereka, dan boleh dipandang rendah.

Pacat/cacing/lintah/ulat. Binatang spesis gitu.

IMG_0122.JPG

17.       Bakat tersembunyi yang Sara ada?

Baca peta. Boleh tak itu dikira sebagai bakat tersembunyi? Biasanya bila saya ke luar negara, saya yang akan bertanggungjawab baca peta tempat, atau peta jaringan kereta api. Keluarga dan rakan-rakan saya, hampir kesemunya tidak reti dan mereka bergantung kepada saya.

18.       Sara mesti kelihatan cantik, boleh Sara bagi tips kecantikan yang selalu Sara amalkan?

Skin care. Itu yang paling penting. Jangan abaikan penjagaan kulit. Lagi satu, selalu berfikiran positif, senyum dan ketawa selalu. Bila kita gembira, orang akan nampak kita cantik.

19.       Korean Drama atau English Movie?

Korean drama. Saya memang tidak meminati Englis movie. Koren drama lebih bervariasi dari segi jalan cerita, dan genre.

20.       Peristiwa paling bermakna dalam hidup Sara?

Jodoh itu Milik Kita dilamar untuk dijadikan novel. Itu ialah titik tolak kemunculan Sara Aisha dalam dunia penulisan tanah air. Dan juga detik yang mengubah seluruh jalan hidup saya. Kerana saya sudah jadi seorang novelis, saya berhenti kerja di syarikat lama dan kini membuat apa yang saya suka. Jika saya tidak jadi penulis, saya mungkin masih lagi bekerja di tempat sama, membuat perkara sama setiap hari. Itu agak membosankan.

IMG_5592.JPG

21.       Projek terbaharu Sara selepas Aku Lelakimu?

Masih dalam rahsia. Yang saya boleh katakan, genrenya ialah cinta aksi seperti Salju Kyoto.

22.       Apa pandangan Sara tentang fenomena adaptasi novel yang berlaku di Malaysia?

Elok dari segi menambahkan hasil jualan novel yang terbabit. Tetapi jalan cerita novel yang diadaptasi, hampir kesemuanya sama. Secara tidak langsung, penonton TV menganggap bahawa semua novel Melayu mempunyai jalan cerita seperti itu dan novelis akhirnya dikecam. Padahal hakikatnya, banyak novel Melayu yang lain daripada lain dan ada ramai novelis yang cuba menghasilkan kelainan dalam karya mereka.

23.       Mungkin ramai yang bercita-cita untuk jadi macam Sara. Tips yang Sara boleh berikan kepada mereka yang ingin menceburi bidang penulisan?

Pertama, banyakkan membaca. Tidak kira novel, artikel surat khabar, memoirs atau bahan bacaan yang lain. Saya percaya semakin banyak kita membaca, semakin banyak idea yang mungkin diperoleh. Kedua, kuatkan jiwa. Dunia penulisan mungkin nampak glamour. Tetapi hakikatnya dunia ini ialah dunia mencabar. Dari segi untuk menyiapkan karya, menghadap karenah penulis lain, menerima kritikan pembaca dan macam-macam lagi. Jadi, hati kena kuat. Ketiga, jangan bersikap diva. Saya perasan ramai penulis muda yang baru berjinak-jinak dalam dunia penulisan punya sikap agak diva. Demand macam-macam daripada penerbit dan sombong dengan pembaca. Itu ialah sikap yang boleh membunuh penulis itu sendiri. Jika penerbit itu baik, bagilah kerjasama elok-elok. Untuk pembaca pula, mereka ialah orang yang akan membeli naskah dan menyokong penulis, jadi janganlah pandang mereka sebelah mata atau meremehkan mereka. Tanpa pembaca, tiadalah penulis.

Anda mahu jadi penulis? manuskrip anda masih ditolak? Semangat itu perlu untuk berjaya.

3 thoughts on “Temu Bual Bersama Penulis Novel Malaysia, Sara Aisha

  1. Salam, Qbal. Terima kasih atas interview dan masukkan artikel tentang kak sara di sini. Wish yiu good luck dlm penulisan adik juga. 🙂

  2. Saya minat dgn cara hidup k.sara 👍Sebuah karya yg sangat bagus dan saya juga bercita ii ingin menjadi novelis ❤Thanks sbb beri kata ii yg menaikkan semangat saya utk menulisAnd satu soalan saya nak tanya kalau nak jadi penulis betul ke kena mengembara?

  3. memang amat2 berminat tetapi x tahu nak bermula dari mana….sudah istikharah utk meninggalkan kerja sekarang ni..Subhanallah.

Comments are closed.