Bunga memberikan seribu satu makna pada setiap pemberi bunga. Bunga biasanya diberikan kepada pasangan kekasih, isteri, ibu dan juga teman. Dijadikan juga hadiah sebagai tanda terima kasih, melawat seseorang, memujuk dan ucapan tahniah. Tidak kurang juga bagi yang ingin meraikan sesuatu hari yang bermakna seperti hari jadi, hari ibu dan hari graduasi. Apa makna di sebalik setiap jenis bunga yang diberi?
1. Mawar
Bunga mawar adalah bunga yang paling terkenal untuk diberikan kepada sang kekasih. Lebih-lebih lagi di hari simbol percintaan iaitu Hari Valentine. Setiap warna bunga mawar membawa maksudnya yang tersendiri. Walaupun dengan hanya sekuntum, dapat menceriakan hari si gadis.
Mawar merah membawa erti kecantikan, berani dan romantis. Jadi, tidak hairan lah mengapa mawar merah sering dijadikan hadiah untuk diberi kepada sang kekasih walaupun tanpa meraikan sesuatu.
Mawar putih membawa erti cinta sejati, kemurnian, kesucian kelembutan dan rendah diri.
Mawar kuning bererti sahabat sejati. Jika anda mendapat pemberian hadiah mawar kuning daripada pasangan, ada kemungkinan pasangan anda mahu memberitahu bahawa dia hanya menganggap anda tidak lebih dari teman baiknya sahaja.
Mawar jingga membawa erti lamaran. Pada yang belum lagi berkahwin, anda boleh berharap untuk mendapatkan mawar jingga daripada pasangan anda.
Mawar biru membawa erti misteri dan mawar hijau membawa erti ketenangan. Manakala mawar hitam pula membawa erti kematian.
2. Tulip
Bunga tulip melambangkan bahawa si pemberi memohon maaf. Selain itu, bunga tulip juga membawa maksud menyatakan cinta, ambil berat, kemewahan, semangat yang tinggi dan juga persahabatan.
Secara umum, bunga tulip melambangkan cinta yang sempurna. Jika warnanya bermacam-macam, bunga tulip ini membawa makna keindahan cinta yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.
3. Orchid
Bunga orchid atau anggerek merupakan bunga yang memerlukan waktu yang cukup lama untuk berbunga. Setelah menghasilkan bunga barulah orchid atau anggerek ini kelihatan cantik. Orchid juga tidak akan cepat layu. Orchid atau anggerek ini sesuai untuk pasangan atau teman yang meraikan hari graduasi atau mendapat apa-apa jenis pencapaian yang membanggakan.
4. Matahari
Bunga ini diberi nama bunga matahari kerana sifatnya yang selalu menghadap ke arah matahari. Itulah yang membuatkan bunga matahari menjadi simbol ketulusan dan kesetiaan. Kalau ingin menunjukkan kesetiaan kepada pasangan, bunga matahari adalah bunga yang paling tepat untuk diberikan kepada sang kekasih.
5. Peony
Bunga peony selalu kelihatan cantik dan wangi. Bunga ini juga dapat mehilangkan infeksi dan rasa sakit. Secara tidak langsung, bunga peony membawa maksud kebahagiaan.
6. Lily
Bunga lily melambangkan kesucian, kesopanan, dan kemurnian. Bunga ini sesuai deberikan kepada sang kekasih. Gadis di luar sana pasti gembira menerima bunga lily sebagai hadiah. Zaman sekarang, bunga lily juga kerap dilihat dijadikan sebagai bunga tangan di majlis perkahwinan.
7. Hydrangea
Hydrangea merupakan simbol terima kasih kepada seseorang. Jika anda ingin meluahkan rasa terima kasih, bunga yang cantik ini sangat sesuai dijadikan sebagai hadiah. Hydrangea ini juga semakin popular dan dijadikan hiasan meja dan pelamin.
8. Daisy
Bunga daisy yang juga dikenali sebagai bunga aster memberi makna kesetiaan dan kesabaran. Bunga ini hanya sesuai untuk seseorang yang kamu selesa dan yakin akan kesabaran dan kesetiaannya. Selain mawar, daisy juga adalah pilihan yang tepat buat sang kekasih.
Daripada lapan jenis bunga di atas, sudahkah anda mendapat idea bunga apa yang ingin dibeli di kedai bunga nanti? Jangan tersalah pilih, takut si dia berkecil hati. Harap blog kali ini memberi idea kepada yang ingin membeli bunga atau mula menjaga bunga sebagai hobi.