doa nabi musa

Doa Nabi Musa : Amalan Neelofa Bila Rasa Buntu

Kehebatan Doa Nabi Musa apabila kita dalam kesusahan.

Pernah rasa clueless sampai tak tahu nak mula dari mana? Atau rasa macam dah usaha macam-macam, tapi masih buntu dan tak nampak jalan keluar? Jangan risau, perasaan ni normal dan dalam Islam, kita diajar untuk kembali kepada Allah melalui doa.

Salah satu doa yang sangat sesuai diamalkan ketika rasa buntu atau mencari rezeki adalah Doa Nabi Musa:

“Rabbi inni lima anzalta ilayya min khairin faqir”
(Surah Al-Qasas, ayat 24)

Maksudnya:
“Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku sangat berhajat kepada sebarang kebaikan yang Engkau turunkan kepadaku.”

Doa ini diamalkan oleh Nabi Musa a.s. selepas melakukan kebaikan dengan membantu dua wanita mengangkat air di sebuah perigi. Selepas itu, beliau duduk berehat sambil berdoa dalam keadaan yang sangat memerlukan, lapar, tidak berduit, dan tanpa arah tujuan. Dalam keadaan yang penuh dengan kerentanan dan kebergantungan kepada Allah inilah, Allah mempertemukannya dengan jodoh yang ditakdirkan, iaitu Saidatina Shafura, serta memberikan tempat tinggal yang selesa dan pekerjaan yang membawanya kepada kehidupan yang lebih baik.

Baca Juga :

Menariknya, selebriti dan usahawan terkenal Noor Neelofa juga pernah berkongsi bahawa ini adalah antara doa yang sering diamalkannya ketika ia merasa hilang arah dalam hidupnya atau sedang mencari jalan keluar dalam perniagaan yang dilaksanakan. Doa ini mempunyai makna yang mendalam dan dianggap sebagai panduan untuk kembali ke jalan yang benar, memberikan kelegaan dan kekuatan semasa menghadapi cabaran yang sukar.

masjid
@pexels

Doa ini sesuai diamalkan untuk:

  • Doa pembuka rezeki
  • Doa ketika rasa buntu atau clueless
  • Doa mohon pertolongan dari Allah
  • Doa ketenangan hati dan petunjuk hidup

Hadis berkaitan tawakal dan rezeki:

Rasulullah SAW bersabda:
“Jika kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, nescaya Allah akan memberi rezeki kepadamu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung; keluar pada waktu pagi dalam keadaan lapar dan pulang petang dalam keadaan kenyang.”
(Hadis Riwayat At-Tirmizi)

Jadi, jika anda rasa hidup sedang kusut, tak tahu nak mula dari mana atau terperangkap dalam keraguan – amalkan doa Nabi Musa ini dengan penuh pengharapan. InsyaAllah, rezeki, pertolongan dan jalan keluar akan datang dari arah yang tak disangka.