Penyakit ain sering menjadi topik yang dibincangkan dalam masyarakat, terutama apabila seseorang tiba-tiba jatuh sakit, hilang semangat, atau berdepan musibah tanpa sebab jelas. Dalam ajaran Islam, penyakit ain diakui sebagai sesuatu yang wujud dan boleh memberi kesan kepada tubuh serta jiwa seseorang. Oleh itu, memahami apa itu penyakit ain serta doa perlindungan yang dianjurkan adalah penting agar kita dapat melindungi diri dan orang tersayang.
Apa Itu Penyakit Ain?
Penyakit ain berasal daripada pandangan mata yang disertai rasa iri, dengki, kagum yang melampau, atau perasaan negatif dalam hati seseorang terhadap apa yang dilihat. Dalam Islam, penyakit ain terjadi apabila seseorang terkena ‘panahan mata’ atau evil eye, sama ada dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh.
Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ
Maksudnya: “Al-ain” itu adalah benar
Dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:
الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا
Maksudnya: Al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika diminta kepada kamu untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah.
Riwayat Muslim (5831)
Penyakit ain bukan sekadar pandangan biasa, tetapi pandangan yang disertai emosi negatif sehingga memberi kesan buruk kepada individu lain. Ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja—dewasa, kanak-kanak, malah bayi.
Doa Menghindari dan Merawat Penyakit Ain
Berikut adalah beberapa doa yang diamalkan untuk perlindungan daripada penyakit ain dan untuk merawatnya:
1.Doa Penyakit Ain
أَعُوذُ بِكَلِمَاتِ اللَّهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ
Doa Penyakit Ain Rumi:
A’uzubika bikalimaatillaahit tammati min kulli syaithanin wa hammatin, wa min kulli ‘ainin lammah.
Maksudnya: “Aku berlindung dengan kalimah-kalimah Allah yang sempurna dari segala syaitan, binatang yang berbisa dan pandangan mata yang jahat.”
(Sahih Riwayat al-Bukhari, 3371)
2. Doa Perlindungan untuk Anak-Anak
Menurut Imam Nawawi dalam kitab Al-adzkar, Rasulullah mengajarkan doa ini untuk memohon perlindungan untuk anak-anak dari bahaya penyakit ain.
أُعِيْذُكَ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَّةِ مِنْ كُلِّ شَيْطَانٍ وَهَامَّةٍ، وَمِنْ كُلِّ عَيْنٍ لاَمَّةٍ. اَللَّهُمَّ بَارِكْ فِيْهِ وَلَا تَضُرَّهُ
Rumi: U‘idzuka bikalimatillahi tammati min kulli syaithanin, wa hammatin, wa min kulii ‘ainin lammah. Allahumma barik fihi, wa la tadhurrah.
Maksudnya:
Aku memohon perlindungan bagi kalian berdua dengan kalimah Allah yang sempurna daripada gangguan syaitan, binatang yang berbahaya, dan pandangan mata yang membawa mudarat.Tuhanku, turunkan keberkatan-Mu pada anak ini. Jangan izinkan berlaku keburukan ke atas dirinya.
3. Surah Al-Falaq dan Surah An-Nas
Dua surah ini sangat dianjurkan dibaca pada waktu pagi dan petang sebagai perlindungan daripada gangguan zahir dan batin.
4. Membaca Ayat Kursi
Ayat Kursi adalah antara ayat paling kuat untuk perlindungan diri daripada gangguan, termasuk penyakit ain.
Penyakit Ain Dalam Islam
Islam mengiktiraf kewujudan penyakit ain dan menganjurkan umatnya supaya berwaspada. Dalam banyak hadis, Rasulullah SAW menjelaskan bahawa ain adalah hakikat yang benar. Baginda turut mengajarkan beberapa doa perlindungan kepada para sahabat dan anak-anak baginda.
Antara langkah yang digalakkan dalam Islam untuk mencegah penyakit ain ialah:
- Tidak berlebihan memuji seseorang tanpa menyertakan doa keberkatan seperti “MasyaAllah” atau “Barakallahu fik”.
- Membaca doa perlindungan untuk diri dan keluarga setiap pagi dan petang.
- Menjaga hati daripada perasaan dengki atau iri terhadap orang lain.
- Mengamalkan ruqyah syariah apabila disyaki terkena gangguan ain.
Dengan mengamalkan doa-doa perlindungan dan sentiasa bergantung kepada Allah SWT, kita dapat melindungi diri, keluarga dan persekitaran daripada mudarat penyakit ain.
