Tahukah anda susun atur meja kerja turut mempengaruhi prestasi anda dalam melunaskan tugas harian? Baik di pejabat mahupun ketika anda bekerja dari rumah, meja kerja memainkan peranan penting dalam memastikan anda dapat bekerja pada tahap optimum.
Apa pun kecenderungan atau cita rasa anda dalam menata rias ruang kerja, meja kerja anda perlulah mengutamakan produktiviti. Ikuti tips di bawah tentang bagaimana menyusun atur meja kerja supaya anda dapat melunaskan tugas-tugas dalam persekitaran yang lebih produktif.
1. Utamakan keselesaan
Anda tidak akan dapat bekerja dengan baik jika berada dalam keadaan yang tidak selesa. Kedudukan kerusi dan meja hendaklah sesuai dengan postur tubuh. Laraskan skrin komputer mengikut aras mata yang betul.
Ini dapat menghindar tubuh dari cepat lenguh seterusnya menjejaskan prestasi kerja. Pastikan juga ada ruang pengudaraan yang cukup dalam persekitaran anda.
2. Kemas meja kerja
Meja kerja yang tidak teratur akan mengganggu kelancaran kerja. Oleh itu, sentiasa pastikan meja kerja anda dalam keadaan yang kemas.
Alat tulis dan peralatan pejabat yang kerap digunakan perlu disusun rapi di atas meja supaya mudah dicapai apabila diperlukan. Selebihnya, simpan di dalam laci meja atau tempat penyimpanan lain bagi mengelakkan meja menjadi terlalu sesak. Jangan lupa untuk mengembalikan barang ke tempat asal bagi mengelakkan anda tercari-cari kelak.
Wujudkan ruang kosong di atas permukaan meja sebesar sehelai kertas A4. Peruntukkan ruang ini khusus untuk menulis, menyemak dan menandatangan dokumen.
Kabel dan wayar yang berselirat membuat anda berasa jengkel? Gunakan klip pemegang kabel untuk atasi masalah ini.
Sediakan bakul sampah di tepi meja kerja. Ini memudahkan anda membersihkan meja kerja daripada dipenuhi gumpalan kertas dan sampah-sampah lain.
3. Ikut kebiasaan diri
Kedudukan barang-barang seperti komputer, telefon dan rak dokumen perlu diletakkan dalam posisi yang tidak membataskan pergerakan, mengikut kebiasaan anda. Sekiranya anda terpaksa menyilang tangan semata-mata untuk mengangkat telefon di sudut meja bertentangan, ini bermakna susun atur meja tersebut tidak sesuai buat anda.
Jika anda seorang yang gemar membuat peringatan di komputer, pastikan permukaan kekunci komputer mudah diakses, tidak ditindan dengan sebarang fail atau dokumen. Sebaliknya, jika anda suka mencatat, kertas memo dan pen perlu sentiasa ada di atas meja.
4. Utamakan aliran kerja yang sistematik
Sebanyak mana pun tugasan anda, jangan lambakkan kesemua sekali di atas meja. Hal ini akan membuatkan anda cepat tertekan. Belajar kenal pasti keutamaan setiap tugasan. Susun dokumen dan fail tugasan mengikut keutamaan dari segi kesegeraan, aras kepentingan dan tarikh akhir. Biarkan hanya dokumen untuk tugas yang berkaitan sahaja di atas meja pada satu-satu masa.
5. Sedikit sentuhan peribadi
Hias meja kerja dengan beberapa barangan peribadi milik anda seperti bingkai gambar yang mengandungi foto insan tersayang, kenangan percutian atau tumbuhan kecil. Tetapi, hindarkan dari meletakkan terlalu banyak objek sehingga meja kelihatan semak.
Memiliki barang-barang sebegini akan membuatkan ruang kerja anda lebih hidup seterusnya memotivasikan diri agar bekerja dengan tekun.
Praktikkan tips di atas dan bekerjalah secara efisien. Meja kerja yang elok susun aturnya dapat membantu meningkatkan daya tumpuan, mendorong anda menjana idea-idea hebat. Jangan lupa rapikan meja kerja sebelum pulang supaya anda boleh bermula dengan nada positif pada keesokan hari.
Very useful content. Thank you. Maybe can have english version too.