Cuti sekolah kembali lagi. Waktu yang paling ditunggu-tunggu oleh bukan sahaja anak-anak tetapi juga ibu bapa. Musim cuti sekolah adalah waktu dimana ibu bapa meluangkan masa bersama anak-anak pada hujung akhir tahun. Pasti sudah ada yang merancang aktiviti semasa cuti sekolah, baik bercuti ke luar negara atau pun balik ke kampung halaman. Namun, jika anda termasuk dalam geng last minute jangan risau kerana Blog kali ini akan kongsikan senarai aktiviti semasa cuti sekolah yang boleh anda lakukan bersama anak-anak tersayang bagi semua peringkat umur.
Berkhemah
Bila kali terakhir anda pergi berkhemah? Aktiviti ini merupakan aktiviti yang wajib dilakukan ketika musim cuti sekolah. Ianya dapat memberi pengalaman baru kepada anak-anak anda tentang cara-cara berkhemah. Anda boleh membawa peralatan berkhemah di kawasan perhutanan atau terus datang dengan tangan kosong ke tempat perkhemahan yang telah disediakan. Berkhemah di depan rumah juga adalah permulaan yang baik!
Projek DIY
Aktiviti ini dapat dilakukan pada bila-bila masa sahaja terutama sekali pada hujung minggu. Daripada biarkan anak-anak menghabiskan masa dengan gadget dan menonton kartun sepanjang hari, apa kata tarik perhatian anak anda dengan melakukan projek DIY. Terdapat banyak idea projek DIY yang anda boleh lakukan dengan barang yang sedia ada di rumah. Aktiviti ini bukan sahaja dapat mewujudkan daya imaginasi yang bagus namun juga meningkatkan kreativiti dan kemahiran berfikir dalam diri-diri anak-anak.
Bercuti
Siapa sahaja yang tidak suka untuk pergi bercuti? Baik anak-anak mahupun ibu-bapa kedua-duanya memerlukan percutian untuk berehat. Jangan risau jika anda tidak cukup bajet untuk bercuti ke luar negara kerana negara kita terdapat pelbagai tempat percutian menarik mengikut kesesuaian anda seperti pergi ke Taman Tema, berkunjung ke pantai atau pulang ke kampung halaman.
Beriadah
Terikat dengan kesibukan bekerja, menyebabkan kita sering pulang ke rumah dalam kelelahan. Tiada masa bersama dengan yang tersayang boleh menyebabkan perasaan burn out dan juga menganggu kesihatan mental anak-anak. Cuba luangkan masa untuk beriadah bersama anak-anak ketika cuti sekolah. Anda boleh melakukan pelbagai aktiviti bersama dari bermain permainan tradisional ke aktiviti yang lebih lasak seperti badminton, bola sepak atau berbasikal. Hal ini bukan sahaja dapat membantu perkembangan anak-anak anda malah juga dapat mencungkil bakat terpendam anak anda. Pastikan anak anda memakai pakaian yang sesuai untuk aktiviti bersukan.
Akhir kata, terdapat pelbagai aktiviti yang anda boleh lakukan ketika musim cuti sekolah mengikut kesesuaian anda. Luangkan masa bersama anak-anak merupakan perkara yang berharga kerana masa tidak dapat diputar kembali. Jadi, gunakan peluang yang sedia ada sebaik mungkin dan cipta kenangan anda bersama keluarga.
Kongsikan dengan kami aktiviti cuti sekolah versi anda di ruangan komen di bawah.