Dunia berpusing seakan derasnya, menyebabkan ada di antara kita leka dan lalai menjaga kesihatan diri. Dek kesibukan rutin harian yang pelbagai, pengabaian penjagaan pemakanan selalu diambil mudah.Sebagai contoh, apabila kita bekerja atau sesudah bekerja makanan segera atau makanan ringin sering menjadi makanan utama kita. Namun, makanan inilah yang menjadi punca kepada masalah kesihatan yang serius. Ditambah pula dengan faktor pekerjaan yang memerlukan daya fikir dan daya saing yang tinggi di dalam masyarakat moden arus perdana kini merumitkan lagi penjagaan amalan hidup yang sihat. Berikut adalah beberapa tips amalan gaya hidup sihat yang boleh diamalkan dalam kehidupan seharian anda.
1. Berfikiran Positif
Berfikiran positif amat penting bagi diri kita kerana aura dan juga energi positif akan memberi keceriaan di dalam diri. Secara tidak langsung jika kita sentiasa berpandangan baik, setiap apa yang ditentukan akan menjadi pendorong semangat. Walhal seberat mana pun dugaan dan rintangan yang mendatang, dengan berfikiran positif kita tidak mudah mengalah dan tewas dengan cabaran tersebut. Namun, semangat yang kuat yang dipupuk serta keyakinan diri yang tinggi akan menyerlahkan diri kita sebagai seorang yang berkaliber. Ia melambangkan kematangan dan kecerdikan hati kita kerana mampu berfikiran dengan waras dalam apa jua situasi yang dialami. Justeru, ia penting dalam amalan kehidupan harian yang sihat.
2. Hindari Tekanan
Tekanan atau stress sentiasa ada di dalam kehidupan kita. Kita tidak boleh lari dalam situasi sebegitu namun kita boleh mengubah cara kita menangani situasi stress. Cuba tarik nafas dan hembus beberapa kali jika anda mengalami sesuatu tekanan yang tidak dijangka. Jangan mudah menggelabah, mengeluh dan mengalah. Setiap dugaan yang datang ada hikmah dan jalan penyelesaian yang tersendiri.
Ini kerana jika kita mengambil serius dengan apa yang berlaku mungkin juga kita akan terseksa dan mudah tertekan. Secara sedar atau tidak, tekanan merupakan punca utama segala penyakit. Oleh itu, tekanan harus disingkirkan dalam diri kita dan hendaklah sentiasa ceria dan tenang menghadapi sesuatu cabaran. Anda boleh mula melakukan brisk walk di waktu petang. Kajian menunjukkan amalan brisk walk bukan sahaja menyumbang kepada kesihatan yang baik tetapi juga bagus dalam mengurangkan tekanan.
3. Jaga Pemakanan
Pemakanan amat penting dalam penjagaan amalan hidup sihat. Harus diingat kita disarankan meminum sekurang-kurangnya 8 gelas air putih sehari. Ini kerana toksik dan asid yang terkandung didalam badan kita harus disingkirkan. Jika tidak ia akan memudaratkan seperti pengumpulan lemak, kolestrol serta gula yang tinggi. Justeru, amalan pemakanan harus diseimbangkan, jangan berlebihan bila makan dan diseimbangkan dengan pengambilan air putih yang banyak. Bak kata pepatah “makan sebelum lapar, berhenti sebelum kenyang”.
4. Senaman
Senaman memang sukar dilakukan dan sangat malas dilaksanakan oleh masyarakat kita. Walaupun ia sangat senang seperti berjalan kaki, menaiki tangga dan aktiviti ringkas di pejabat, namun sukar bagi kita melakukannya sebagai rutin harian. Senaman harus dilaksanakan bagi meningkatkan stamina serta pengaktifan otak kiri dan kanan kita supaya sihat dan cergas. Walaupun cuma 20 minit sehari ia sangat berkesan memberi kebaikan berpanjangan kepada tubuh badan kita.
5. Jaga Kualiti Tidur
Perkara ini amatlah penting dalam memberikan kita hidup yang sihat dan berkualiti. Jika anda mempunyai masalah sukar untuk tidur, cuba cara seperti meminum teh camomile dan elakkan kopi beberapa jam sebelum tidur. Anda juga boleh menghidupkan suasana dengan memasang lilin yang wangi agar dapat menenangkan hati dan menciptakan mood untuk tidur.
Berikut sedikit tips amalan gaya hidup sihat dari kami, ingat bahawa harta terbesar adalah kesihatan diri anda. Ikuti kami di Zalora Malaysia Blog untuk lebih banyak tips berkaitan kehidupan , fesyen dan juga kecantikkan.