Gong Xi Fa Cai!
Sedar atau tidak sebentar lagi kita akan menyambut perayaan pertama bagi tahun ini iaitu Tahun Baru Cina. Sama seperti perayaan yang lain Sambutan Tahun Baru Cina juga mempunyai tradisi yang tersendiri. Dari pantang larang ketika menyambut perayaan, persiapan dan juga pakaian tradisional.
Bagi anda yang ingin bersama menyambut perayaan Tahun Baru Lunar bersama rakan yang berbangsa Cina anda pasti tidak ingin salah dalam memilih pakaian tradisional kaum Cina. Oleh itu, di ZALORA blog kali ini mari kita kenali Cheongsam, salah satu pakaian tradisional kaum Cina.
Latar Belakang Cheongsam
Cheongsam, Qipao atau juga disebut sebagai Changsan dalam bahasa kantonis yang membawa maksud jubah panjang adalah pakaian tradisional masyarakat Tionghoa yang membawa simbolik keindahan. Busana ini sering dikenakan oleh kaum wanita sebagai pakaian ruji masyarakat dahulu. Peredaran zaman yang semakin berubah menyebabkan baju tradisional Cina ini sering kita lihat di majlis-majlis perayaan seperti Sambutan Tahun Baru Cina atau majlis perkahwinan. Secara tradisinya, Qipao adalah berbeza dengan Cheongsam yang kita lihat pada hari ini. Kebiasaannya Qipao adalah lebih sederhana dan lebih labuh berbanding Cheongsam yang telah disingkatkan hingga ke paras lutut. Namun, baik Qipao atau Cheongsam kedua-duanya dihasilkan menggunakan kain yang lembut seperti kain sutera dan kain satin dan memberi kesan anggun dan lembut bagi si pemakai.
Warna Yang Membawa Keuntungan
Tahun Baru Cina sering dikaitkan dengan warna merah. Jika anda tidak tahu warna merah merupakan warna yang membawa keuntungan dalam kepercayaan masyarakat Cina. Meskipun kini, ramai yang tidak mengikuti adat warna secara keseluruhannya namun tetap mengekalkan elemen merah dalam dekorasi atau baju yang dikenakan sebagai keberuntungan atau “Ong”. Oleh sebab itu, kita sering melihat Cheongsam dalam warna merah atau mempunyai elemen dengan warna merah. Selain dari warna merah, kuning dan juga oren turut membawa maksud keberuntungan.
Motif dalam Cheongsam
Jika kita lihat dengan lebih teliti, dalam motif print Cheongsam juga membawa makna-makna yang tersendiri, seperti corak burung Phoenix Cina / Fenghuang yang melambangkan penyatuan antara lelaki dan perempuan biasanya bagi Cheongsam untuk perkahwinan. Corak naga pula membawa metafora sebagai kekuatan dan nasib yang baik. Bunga Peony membawa maksud kekayaan dan kesejahteraan dan merupakan bunga antarabangsa masyarakat Cina sejak 5000 tahun yang lalu. Akhir sekali, corak teratai yang membawa makna pengorbanan dan kecantikan yang suci.
Pakaian tradisional Cina bukanlah hanya terhad kepada Cheongsam sahaja tetapi terdapat beberapa pakaian yang lain seperti Hanfu, Jubah labuh dan Samfoo namun tidak sering kita lihat di masa kini. Berbeza dengan Cheongsam yang telah diberi nafas baru dari masa ke masa menyebabkan ianya tetap releven hingga ke hari ini. Bukan sahaja sesuai digunakan untuk majlis-majlis tertentu juga untuk seharian. Oleh kerana, rakyat Malaysia yang bersatu hati, kini baju tradisional Cina ini juga tersedia dalam versi Cheongsam muslimah. Kongsikan dengan kami, pengalaman anda memakai Cheongsam di bawah.
Nikmati Extra Diskaun Tahun Baru Cina di sini